بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirobbbilalamin
mafhumnya:sesungguhnya solatku, amal ibadahku, hidupku serta matiku kerana Tuhan sekalian alam

Dengan Pena hatiku berkata,
Dengan pena diriku bersuara

Sabtu, 21 Mei 2011

Jihad


Pengertian jihad

Jihad di dalam Islam bermaksud mengerah sepenuh tenaga atau berjuang untuk menunaikan perintah Allah SWT dengan mengerjakan segala kebaikan dan meninggalkan segala kejahatan demi kebaikan seluruh alam. Jihad adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang menganjurkan kepatuhan kepada Allah SWT dan hubungan damai dengan semua pihak.

Seorang ahli bahasa yang terkenal, Ibnul Atsir menerangkan bahawa jihad adalah memerangi orang kafir dengan sungguh-sungguh menghabiskan daya dan tenaga dalam menghadapi mereka, baik dengan perkataan atau perbuatan. Sebagaimana firman Allah

الَّذينَ آمَنُوا وَ هاجَرُوا وَ جاهَدُوا في‏ سَبيلِ اللَّهِ بِأَمْوالِهِمْ وَ أَنْفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَ أُولئِكَ
هُمُ الْفائِزُونَ

“Orang- orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah; dan itulah orang- orang yang mendapat kemenangan”
(Surah At-Taubah: 20)


Kata jihad boleh juga diertikan dengan perjuangan dalam mencari rezeki yang halal; berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:

“Mencari (rezeki) yang halal itu adalah jihad”.
(Hadith riwayat Abu Nuaim dari Ibnu Umar)

Namun dalam dunia tasauf, kata jihad diertikan dengan memerangi hawa nafsu. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. bahawa memerangi hawa nafsu itu lebih berat dan lebih besar daripada memerangi orang-orang kafir.

**************************************************************************

Bentuk jihad dalam Islam

Jihad boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk samada lisan iaitu dengan menasihati orang lain atau dengan tenaga iaitu dengan melakukan aktiviti kemasyarakatan untuk golongan yang kurang bernasib baik. Jihad juga boleh dilakukan dengan menahan sesuatu yang mungkar dan membuat kebaikkan. Antara bentuk jihad ialah:

a) Jihad jiwa dan nyawa

Jihad yang memerlukan keikhlasan dan tahap keimanan yang tinggi. Menjadi syuhada muslim tatkala mempertahankan agama merupakan contoh jihad jiwa dan nyawa. sanggup berkorban demi mempertahankan maruah agama dan bangsa. Menjadi seorang syuhada memiliki banyak keistimewaan disisi Tuhan.


b) Jihad Hawa Nafsu

Merupakan jihad dalam Islam yang memerlukan kesabaran dan ketaatan yang tinggi. Jihad jenis ini mencabar pelakunya untuk bersabar dalam menjauhi maksiat dan kemungkaran Allah SWT. Jihad hawa nafsu membantu meningkatkan tahap keimanan seseorang itu. Orang yang kuat bukan terletak pada kekuatan fizikalnya, tapi pada kekuatan hatinya melawan hawa nafsunya sendiri. Hawa nafsu mempunyai pelbagai jenis, nafsu memiliki dunia berserta isinya merupakan sebahagian hawa nafsu yang harus ditadbir sebaiknya oleh akal. Terjebak dengan hawa nafsu bukan sahaja menjadikan seseorang itu ingkar malahan boleh menyebabkan seseorang itu terus lalai dan terus terjebak ke dunia kemaksiatan. Jihad hawa nafsu dapat menjaga dan memuliakan manusia. Membedakan manusia dengan haiwan. Manusia dimuliakan Allah sebagai khalifah untuk mentadbir muka bumi dan yang lebih utama ialah menjadi pentadbir kepada hatinya sendiri. Melalui jihad hawa nafsu, manusia akan terjaga dan martabat manusia sebagai khalifah dimuka bumi akan tetap terpelihara


c) Jihad harta

Mengorbankan harta di jalan Allah SWT merupakan sebahagian daripada jihad seorang Muslim. Sebagai mencontohi para sahabat yang banyak mengorbankan harta untuk kepentingan jihad. Firman Allah:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَ رَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتابُوا وَ جاهَدُوا بِأَمْوالِهِمْ وَ أَنْفُسِهِمْ في‏ سَبيلِ اللَّهِ أُولئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ

"Sesungguhnya orang- orang yang beriman hanyalah orang- orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu- ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang- orang yang benar."
Hujurat:15

************************************************************************************

Tujuan Jihad
a. Menundukkan nafsu yang berada dalam diri kita.

Muslim dituntut untuk membangun kekuatan ruhani dan moral untuk mengatasi segala cabaran hidup dengan penuh keyakinan. Oleh itu, Muslim perlu berjihad untuk melawan dan mengawal nafsu yang ada dalam dirinya agar tidak mendorong kepada kejahatan. Ini boleh dilakukan dengan melalukan proses pembersihan diri dari sifat-sifat yang keji dan memupuk sifat-sifat yang terpuji melalui ibadah-ibadah yang dianjurkan oleh Islam seperti membaca Al-Quran, berzikir, berpuasa, bersedekah dan mengamalkan adab yang mulia dalam tingkah laku sosial.

Jihad ini sebenarnya mendahului segala bentuk jihad yang lain termasuk jihad bersenjata kerana sukar sekali untuk seseorang itu melakukan kerja-kerja kebaikan dan pengorbanan yang besar di jalan Allah taala jika nafsu menguasai dirinya dan hatinya kosong dari keikhlasan.


b. Meningkatkan akal dan minda.

Muslim perlu berjihad untuk mempertingkatkan mindanya dengan ilmu dan menggunakan akalnya pula untuk kebaikan semua pihak. Ini boleh dicapai dengan membangun sikap terbuka untuk belajar bukan hanya dari tamadun sendiri tapi juga dari tamadun yang lain. Hanya dengan kesediaan untuk menerima dan membangun ilmu pengetahuan dari pelbagai sumber sahaja
Muslim benar-benar dapat menjadi rahmat bagi semua pihak.


c. Menasihati golongan yang melakukan kejahatan atau mengikut nafsu.

Muslim perlu berjihad untuk membimbing golongan ini dengan penuh hikmah melalui nasihat, teguran atau apa jua aktiviti yang boleh mengembalikan mereka ke jalan yang benar.


d. Mengatasi golongan yang melakukan kemusnahan ke atas nyawa, harta benda dan alam.

Muslim perlu berjihad untuk mencegah golongan ini dari terus melakukan perbuatan mereka yang merosakkan dengan melakukan tindakan penguatkuasaan undang-undang sehingga mereka dapat dihukum sejajar dengan kuasa yang diberikan.


e. Golongan yang memerangi.

Apabila negara di mana seorang Muslim itu tinggal diserang atau diceroboh secara tidak sah dan adil, wajiblah ke atas Muslim untuk mempertahankannya walaupun dengan mengangkat senjata


*************************************************************************************

Bagi ana, ana lebih suka bercerita perihal jihad hawa nafsu kerana jihad hawa nafsu itu lebih berat dari segala jihad pada pandangan ana. Demikian ini disebabkan melawan hawa nafsu dan syaitan berlaku pada setiap masa, sementara berperang dengan orang kafir jarang sekali. Dengan demikian, upaya melawan hawa nafsu adalah sangat mulia bahkan melebihi jihad berperang. Beratnya melawan hawa nafsu itu sendiri diakui oleh para sahabat nabi. Bahkan Nabi Sulaiman a.s. pun pernah bersabda : "Sungguh, upaya mengalahkan hawa nafsu lebih berat ketimbang menaklukkan sebuah kota!" [Al-Ghazali, Mukasyah al-Qulub, h.15]

Menurut Prof. Dr. Hamka bahawa perjuangan melawan hawa nafsu, manusia terbahagi kepada tiga bahagian.

  1. Kalah sama sekali dengan ajakan hawa nafsu, sehingga dirinya ditahan dan diperbudak oleh hawa nafsunya sendiri, bahkan hawa nafsunya itu dijadikan tuhannya. Sebagaimana mafhum firman Allah, “Apakah yang engkau lihat (Muhammad) orang yang mengikuti hawa nafsunya menjadi tuhannya?”.
  2. Peperangan antara keduanya berganti-ganti, terkadang kalah dan menang, jatuh dan tegak. Orang yang begini yang patut disebut MUJAHID. Kalau dia mati dalam keadaan menang, matinya mati syahid. Kerana memerangi hawa nafsu itu lebih berat daripada melawan musuh yang kelihatan.
  3. Orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya, sehingga ia dapat menguasai hawa nafsunya, bukannya dikuasai oleh hawa nafsu. Malah tidak diperbudakkan oleh hawa nafsunya. Sabda Rasulullah s.a.w., “Tidak seorangpun di antara kita yang tidak bersyaitan, saya sendiri pun juga bersyaitan. Tetapi sesungguhnya Allah telah menolong saya menghadapi syaitan saya, sehingga syaitan itu dapat saya kalahkan”. (Hadith riwayat Ibnu Jauzi dan Ibnu Abdurrahman Salmi).

وَ الَّذينَ جاهَدُوا فينا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنا وَ إِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنينَ

"Mereka yang berjuang untuk melawan hawa nafsu karena hendak menempuh jalan Kami, sesungguhnya Kami akan tunjuki jalan Kami. Sesungguhnya ALLAH itu beserta dengan orang yang buat baik".

(Al Ankabut :69)

Ini jaminan dari Allah. Siapa sanggup melawan hawa nafsu, Allah akan tunjukkan satu jalan hingga diberi kemenangan, diberi bantuan dan tertuju ke jalan yang benar. Inilah rahsia untuk mendapat pembelaan dari Allah.

Ertinya mereka mendapat pembelaan dari Allah sejak di dunia. Jadi siapa saja yang sanggup melawan hawa nafsu, dia adalah rijalullah (orang Allah, keluarga Allah, kepunyaan Allah, tentera Allah) Siapa yang menjadi kepunyaan Allah atau tentera Allah, dia akan dibantu oleh Allah. Tapi selama belum menjadi tentara Allah, sebaliknya menjadi tentera manusia atau tentera syaitan, Allah akan biarkan. Kalau diberi kemenangan, atas dasar kuat, bukan atas dasar bantuan. Manakala yang lemah akan diberi kekalahan.

Jadi seseorang itu mesti sanggup melawan hawa nafsu. Kalau tidak, banyak ajaran Islam yang terabaikan, banyak perintah ALLAH yang dilalaikan. Bila tidak dapat melawan hawa nafsu, banyak larangan ALLAH yang akan terbuat. Jadi hanya dengan melakukan mujahadatunnafsi, barulah ajaran Islam itu dapat kita amalkan sungguh-sungguh dan barulah maksiat lahir dan batin dapat kita tinggalkan, karena nafsu yang sangat menghalang itu sudah tidak ada lagi. Nafsu itu sudah kita didik, sudah kita kalahkan, dan sudah menjadi tawanan kita.


Ana Pena

22052011/12:15 am

Baitul 82 Kd



0 ulasan:

Catat Ulasan