بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirobbbilalamin
mafhumnya:sesungguhnya solatku, amal ibadahku, hidupku serta matiku kerana Tuhan sekalian alam

Dengan Pena hatiku berkata,
Dengan pena diriku bersuara

Ahad, 15 Mei 2011

Hidup dengan hati yang hidup


Jika hati mati maka semua amalan yang dilakukan akan menjadi tempang. Manusia akan mengejar dunia dan ilmu akhirat akan ditinggalkan. Hati akan lebih cenderung untuk memenuhi kehendak nafsu berbanding memenuhi tuntutan akhirat.

Namun demkian hati juga diciptakan dengan ciri-ciri sensetif seperti mudah terpengaruh oleh persekitaran, mudah berubah, berbolak balik, adakalanya tersesat, adakalanya terpimpin. Adalah menjadi tugas seorang mukmin untuk menjaga hatinya, merawat dan menghidupkan semangat iman didalam hati

Sahabat Rasulallah SWT pernah menerima teguran langsung melalui wahyuNya, supaya mereka sentiasa menguruskan hati dengan penjagaan yang baik agar ia dapat berfungsi dengan sempurna sebagai media penerima hidayah dari Allah. Menurut pendapat Abdullah ibn Mas'ud, Allah menegur mereka pada saat mereka baru empat tahun memeluk Islam. Dengan FirmanNya dalam surah Al Hadid ayat 16

أَ لَمْ يَأْنِ لِلَّذينَ آمَنُوا أَنْ تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ وَ ما نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَ لا يَكُونُوا كَالَّذينَ أُوتُوا الْكِتابَ مِنْ قَبْلُ فَطالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَ كَثيرٌ مِنْهُمْ فاسِقُونَ

"Belumkah datangnya waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingati Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka menjadi seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Kitab kepadanya, kemudian berlalu masa yang panjang keatas mereka lalu hati mereka menjadi keras dan kebanyakkan diantara mereka adalah orang-orang yang fasik "

Apabila hati dibiarkan tanpa penjagaan, lama kelamaan ia menjadi keras lalu membentuk benteng kukuh yang tidak dapat ditembusi cahaya hidayah Allah. Terkunci mati dan menjadi sarang kejahilan dan kejahatan. Mudahlah syaitan dan iblis beraja dalam hati kita. Dengan mudahnya kita menutup hati dari hidayah Allah SWT dan membiarkan hati hidup dalam kegelapan tanpa cahaya petunjuk dari Illahi.

Pada hakikatnya, cahaya menyinari hati bersumberkan tiga media utama iaitu cahaya al-quran, sembahyang dan mengingati mati. Sebagaimana yang diungkapkan oleh Al-Imam Al Ghazali " Carilah hatimu di tiga tempat, pertama ketika membaca Al-Quran, kedua ketika sembahyang dan ketiga ketika engkau mengingati mati. Jika pada ketiga tempat itu kamu tidak menemukan hatimu maka mohonlah kepada Allah agat Dia memberimu hati kerana sesungguhnya kamu ketika itu tidak memiliki hati"

*************************************************************************************
1. Cahaya pertama: membaca Al-Quran
Kejayaan seseorang bergantung kepada usahanya untuk mengenali Tuhannya. Kejayaan itu sejauh mana seseorang itu mengikat dirinya dengan Tuhannya. Maka Al-Quran lah sebagai perantara yang mengikat seorang hamba dengan TuhanNya. Melaluinya, seseorang akan dapat membedakan yang hak dan yang batil, mengetahui jalan yang terang sebagai jalanan hidup seharian. Dia lahir melalui bimbingan wahyu, menjadi manusia yang kuat, jujur, kuat bekerja dan memiliki misi yang jelas dalam kehidupannya. Kalaupun manusia itu malas, miskin dan suka menyusahkan orang lain punca pertama penyakitnya ialah kerana dia jahil, jauh dari agamanya, jauh dari bimbingan Al-Quran dan tidak mengenali Tuhannya secara dekat.
Kalaupun orang kaya yang mewah segalanya tetapi sengsara jiwanya, punca utama keadaan itu adalah jauh dari Allah SWT. Kejayaan atau kegagalan itu bermula daripada usaha menhurus hati, mengenal Allah dan kesucianNya.

2. Cahaya kedua: sembahyang
Setiap manusai mengimpikan kejayaan dalam melakukan sesuatu perkara. Memperoleh sesuatu yang berharga dalam hidup, kejayaan, kebahagiaan, keceriaan, kemenangan dan segalanya yang baik. Semua itu nikmat Allah SWT yang ,memberi manfaat dan mudarat, membahagi dan mencabut rezeki, memberi petunjuk dan menyesatkan hati. Dia yang merencanakan semua pada tiap hambaNya. Hanya kepadaNya kita meminta pertolongan dan memohon sebarang hajat ke arah kebaikkan. Sembahyang merupakan satu perantara hamba untuk menyampaikan rasa syukur kepada yang Esa yang telah memberikan nikmat hidup. Sembahyang juga sebagai perantara hamba meminta dan memohon pertolongan. Sembahyang mengeratkan hamba dengan Tuhannya. Ibn Al Qayyim Rahimahullah pernah berkata :
"Ketika manusia bergantung kepada dunia, gantungkanlah dirimu hanya kepada Allah. Ketika manusia bergembira kerana dunia, jadikanlah dirimu bergembira kerana Allah. Ketika manusia mencari bahagia dengan kekasih mereka, carilah bahagia dengan menyintai Allah dan ketika manusia pergi menghadap raja dan pembesar, pergilah menuntut hajatmu hanya kepada Allah"

Sesungguhnya ibadat yang meghampirkan manusia dengan Allah adalah melalui sujud seorang hamba itu.

3. Cahaya ketiga: mengingati mati
Antara kebijaksanaan seorang muslim ialah merancang masa depan. Mengingati mati boleh menghidupkan hati, menyuntuik semangat untuk terusan meningkatkan amal, menumbuhkan rasa takut dan harap kepada Allah seterusnya mendorong hati untuk senantiasa bertaubat. Jika ramai manusia berlumba-lumba menghadiri pesta keriangan, memenuhi pasar dan mengunjungi tempat peranginan yang indah, tidak salah jika kita menziarahi kubir sebagai kegiatan rutin untuk menginsafkan hati dan mengingati mati. Sebagaimana yang dilakukan Rasulallah yang lazim menziarahi kubur dan mendoakan kaum muslimin tidak kira siang ataupun malam.

Dengan membaca Al-Quran, mendirikan solat dan mengingati mati, Mukmin dianggap telah melakukan penjagaan yang rapi terhadap hatinya. Insya'Allah mudahan hati kita terus hidup untuk menerima hidayah dan petunjuk dari Illahi

-Keramat sebuah hati-


"Mengharapkan hati terus hidup, mengamalkan yang makruf, meninggalkan yang mungkar"

ana pena
15052011/12:08
Baitul 82 Kd

Sabtu, 14 Mei 2011

Ukhwah itu indah




"Pertemuan kita di suatu hari menitikkan ukhwah yang sejati bersyukurku ke hadrat Illahi di atas jalinan yang suci"

Hari ini tersangatlah sentimental. Ana membuka satu album semasa sekolah rendah yang telah hampir sepuluh tahun ditinggalkan. Zaman yang masih belum kenal erti payah dan sukarnya hidup. Semuanya tampak mudah dan indah. Senyuman dan senyuman yang tidak pernah lekang dalam tiap gambar. Tampak keihlasan yang tidak ada sifat dengki dan kealpaan. Hanyalah muka-muka bersih yang mengharapkan ilmu dan didikan. Syukur alhamdulillah, ana ada menulis keterangan bagi setiap gambar, sejarahnya dan cerita disebaliknya. Sekurang-kurangnya, ingatan ana mampu mencapai dan mengingati semua kenangan itu. Yang mungkin pada hari ini ada teman-teman yang sudah bekerja, mendirikan rumah tangga atau mungkin masih belajar menimba ilmu diseluruh pelusuk dunia. Dimana pun mereka, ana yakin semuanya berjaya.

*************************************************************************************

Firman Allah dalam surah Al Hujarat ayat 13


يا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْناكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَ أُنْثى‏ وَ جَعَلْناكُمْ شُعُوباً وَ قَبائِلَ لِتَعارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَليمٌ خَبيرٌ
"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki- laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa- bangsa dan bersuku- suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal"


Tiap langkah perjalanan, pasti akan mengatur pertemuan. Pertemuan-pertemuan baru yang tidak disangkakan dalam membina ukhwah sesama manusia. Sepanjang perjalanan entah berapa juta manusia yang telah bertandang dan menjadi kawan dan teman dalam membantu kita mengharungi kehidupan. Manusia tidak mungkin mampu menghadapi kenyataan hidup seorang diri tanpa punyai sebarang hubungan dengan manusia lain. Melalui perkenalan, manusia akan saling memahami keperluan dan kehendak setiap manusia lain. Dijadikan manusia itu bersuku dan berbangsa berbeda untuk saling mengenali dan berkongsi cara hidup dan budaya bersama. Dijadikan manusia itu berbeza untuk kita saling mensyukuri nikmatNya. Perbezaan-perbezaan yang mungkin akan menimbulkan kedengkian dan kerosakkan pada hati. Disitulah kita belajar mensyukuri dan memahami nikmat kurniaan Allah itu.

Ta'aruf, tafahum dan ta'awun, merupakan tiga kunci utama dalam pergaulan.

1. Ta'aruf
Apa jadinya ketika seseorang tidak mengenal orang lain? Mungkinkah mereka akan saling menyapa? Mungkinkah mereka akan saling menolong, membantu atau memperhatikan? Atau mungkinkah ukhuwah Islamiyah akan dapat terwujud ?
Melalui ta'aruf atau saling mengenali menjadi satu perkara wajib apabila kita keluar bermasyarakat. Permulaan kepada silaturahim, bagaimana kita mulakan perkenalan dan mengenali secara ringkas siapa yang kita berteman.

2. Tafahum
Memahami, merupakan langkah kedua yang harus kita lakukan ketika kita bergaul dengan orang lain.Setelah kita mengenal seseorang pastikan kita tahu juga semua yang ia suka dan yang ia benci. Dengan memahami kita dapat memilih siapa yang boleh menjadi kawan bergaul kita dan siapa yang harus kita jauhi.
Kata pujangga "Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan bau wanginya, bersahabat dengan tukang besi, percikkan api akan mencarikkan baju kita"

3. Ta'awun
Setelah mengenal dan memahami, rasanya ada yang kurang jika belum tumbuh sifat ta’awun (saling tolong menolong) . Kerana inilah yang akan menumbuhkan rasa cinta diri seseorang kepada kita. Bahkan Islam sangat menganjurkan kepada umatnya untuk saling menolong dalam kebaikan dan taqwa. Rasulullah saw telah mengatakan bahawa bukan termasuk umatnya orang yang tidak peduli dengan urusan umat Islam yang lain.


Tiga kunci utama inilah yang membantu manusia untuk hidup dalam masyarakat yang saling memahami dan menghormati antara satu dan lain.

*************************************************************************************

Ukhwah itu indah. Ukhwah itu menjadikan manusia sepakat menjaga peraturannya. Ukhwah itu menjadikan kita saudara, keluarga yang besar dan tiada sempadan perbezaan bangsa dan budaya. Ukhwah itu membuatkan kita rasa aman dan berteman walau dimana kita berada. Ukhwah itu tetap ada walaupun kita jauh dimata. Ukhwah itu yang menyatukan tiap hati kita. Insya'Allah :)

ana pena
14052011/ 05:40 pm
Baitul 82 Kd

CINTA Merpati Putih




“Inginku terbang tinggi,

Menggapai impian yang terlakar dihati,

Masakan mampu ku terus kecapi,

Sayapku patah belum diubati”

-Monolog merpati-


Ku merenung keluar jendela dengan dengan pandangan yang kosong. Seakannya menanti sesuatu datang menyapa menyampaikan berita gembira. Tapi semuanya hampa. Tiada bayangan yang mengatakan semua itu akan menjelma. Semua yang diimpikan hanyalah kenangan yang hidup dalam fikiran dan memang akan sukar dilupakan. Penderitaan, kekosongan, kesunyian, dan kegelapan. Satu kehilangan yang sangat besar ertinya dalam kehidupan. Disaat diri memerlukan seorang teman untuk berkongsi perasaan, disaat itu jugalah Allah SWT meragut semuanya pergi dari genggaman. Terasa bersendirian membilang detik-detik yang belum pasti, menghitung hari-hari yang belum tentu menjamin kebahagiaan.

“Akak, akak ada didalam?” sapa satu suara. “Siapa tu ?” jawabku kembali. “Sha ni akak, boleh sha masuk?. Jawabnya kembali. Syasha Syahirah, seorang adik yang sangat memahami, yang selalu berada disaat ku suka dan duka. Syasha Syahirah yang peribadi dan kehidupannya hampir serupa denganku. Mungkin itu juga yang membuatkan kami rapat dan suka membincangkan masalah kami bersama walaupun kami bukanlah adik beradik kandung.

“Kenapa sejak kebelakangan ni sha nampak akak asyik muram ja, akak ada masalah ka? Soal Sha. “Ntahlah dik. Fikiran akak rungsing”. “Akak masih ingatkan dia?” “Ya dik, masih sukar dilupakan hingga saat ini walaupun akak tahu semua impian kak tu dah hancur. “Sabarlah akak, Insya’Allah semoga hidup akak lebih baik selepas ni. Ingat firman Allah dalam surah Al-Insyirah ayat 5-6

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْراً . إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْراً

“Kerana sesungguhnya bersama tiap kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama tiap kesulitan ada kemudahan”


“Terima kasih dik, semoga Allah merahmati hidup adik” “Dan ingat, akak seorang yang kuat, sebab itu akak diuji Allah SWT, sebabnya Allah SWT tidak akan menguji seseorang itu melebihi kemampuan orang itu sendiri. Firmannya dalam surah Al Baqarah ayat 286

لاَ يُكَلِّفُ اللهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَ عَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ

“Allah tidak akan membebani seseorang itu kecuali sesuai dengan kemampuannya. Ia akan mendapat pahala (dari kebaikan) yang telah dilakukannya dan mendapat seksa (dari kejahatan) yang telah dikerjakannya”


Merpati putih yang suatu ketika dahulu mampu terbang tinggi kini hanya mampu melihat keindahan alam dari kaca mata seorang kawan. Jatuh dari dahan yang dahulunya menjadi tempat perlindungan, terbuang dan disisihkan oleh sebuah perasaan yang dahulunya diagungkan. CINTA. Kata pujangga, “Cinta bunga kan layu, cinta manusia kan mati, cinta dunia kan berlalu, cinta Allah itu yang abadi”. Kerana cintakan manusia, ku terbuang ke tepi. Dihina dan disisihkan sepertinya cintaku itu tiada harga pada diri, cinta yang disepahkan setelah sekian lama ku taatkan. “Ya Rabbi, ampunkan khilafku, ampunkan kesalahanku. Sungguh benar kesilapan itu telah ku lalui dan ku pohon ampunanMu.”

Keindahan-keindahan itu telah hancur. Hatiku diluka dan ditikam berkali-kali seakannya aku tidak punya perasaan. Manusia yang ku sangka bakal menjadi imamku telah menghancurkan dan tidak sanggup bertanggungjawab terhadapku lantas pergi mencari bunga-bunga segar diluar sana untuk manjadi liburannya setiap hari. Aku hanyalah sebagai ludahan jijik yang dihamburkannya setelah sekian lama ku taatkan kesetiaan ini padanya. Ku ingin terbang tinggi, ku ingin gapai impian dihati tapi masakan ku mampu andai sayapku masih belum sembuh, andai lukaku masih belum pulih. Hari-hariku berubah daripada seorang yang riang bermain di hutan kepada seseorang yang sangat pendiam. Hanya mampu melihat kebahagiaan dan keceriaan yang dikecapi manusia diluar sana sedangkan diri terkurung melawan kesakitan. “Sakitnya Ya Tuhan, sukarnya kehidupan, bantuku Ya Tuhan”

Hanya tangisan yang bisa meredakan perasaan. Dalam tiap tangisan disusuri keinsafan, cukup menenangkan. Masihku buntu mencari jalan, mencari diri dalam kegelapan. Duniaku masih suram, bisu tak mampu ku ucapkan apa yang ku rasakan. Satu demi satu masalah menjatuhkan, merebahkan pegangan. “Ya Tuhan, bantuku hadapi semua ini”

*************************************************************************************

“Dalam kegelapan hati dan perasaan,

Terpancar sinarMu Tuhan,

Dalam kelamnya malam, terhias rembulan,

Pengubat hati dalam keresahan”

-Monolog merpati

Dalam kegusaran ku mencari diri, ku mencari Tuhan. Teresak-esak mengenangkan kesilapan. An-Nu'man bin Basyir berkata, "Saya mendengar Rasulullah saw. bersabda, 'Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas....” Yang halal itu tidak dilarang, tetapi yang haram itu adalah dilarang. Segala perbuatan yang menjurus kepada yang haram juga adalah dilarang. Begitu juga dalam perhubungan sesama manusia. Dalam ketandusan ilmu Tuhan, aku temui sebuah jawapan akan kegusaran hidup dan bebanan fikiran selama ini. Sesuatu yang menghampiri yang dilarang itulah yang membebani hidupku selama ini. Firmannya dalam surah Al-Israa’ayat 32:

وَ لا تَقْرَبُوا الزِّنى‏ إِنَّهُ كانَ فاحِشَةً وَ ساءَ سَبيلاً

“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”


Astagfirullahaladzim. Ya Allah ampunkan ku. Kesilapan lalu yang jelas dimataku. Memberi kasih pada yang bukan haknya. Melafaz sayang kepada lelaki yang bukan suamiku. Ampunkan ku Ya Rabb. Alhamdulillah kesukaran itu menjadi penawar segala kesakitan dihati. Ku melihat kejadian itu sebagai sebuah rahmat dariMu yang memberi dan menilai hati manusia. Engkau angkatku dari kolam lumpur yang hina ke taman bunga milikMu untuk merasa nikmat bahagaia sebenar disisiMu. Alhamdulillah, kesukaran itu mengajarku sesuatu yang beerti dalam hidupku. Meskipun berdarah, ia terubat dengan lantunan bacaan kitabMu yang menenangkan.

"Ya Allah, diriku hamba biasa yang tidak lekang melakukan dosa. Impianku menakluk mimpi tapi dosaku menggunung tinggi. Khilaf semalam masih menghantui, meski ingin dilupakan, ia masih mengganggu fikiran. Ampunkanku Ya Tuhan. Berilah sedikit kekuatan, berikanlah pedoman. Syukur padaMu kini ku mampu tersenyum, mampu menyatakan bertapa aku bahagia dan ceria merasai limpahan nikmatMu yang tidak terhingga."

Tatkala mereka bahagia berdampingan,
biarlah ku keseorangan menanti saat bahagia yang Engkau redha itu datang.

Tatkala mereka bergurau dan bercanda,
biarlah ku titiskan air mata keinsafan mengenangkan segala dosa-dosa.

Tatkala mereka saling menasihatkan,
cukuplah hatiku terubat dengan ilmu-ilmuMu yang mendidik dan menenangkan.

Tatkala mereka saling bertanyakan khabar,
cukuplah bagiku menjaga akal dan fikiranku daripada digoyah syaitan.

Tatkala mereka menyampaikan kasih dan sayang,
cukuplah hanyaMu bagiku Tuhan. kasih dan cinta yang tak terucapkan melalui kata.



*************************************************************************************

“Ku terbang tinggi dalam jagaan ayah dan bonda,

Ku gapai langit dalam redha Tuhan yang Esa,

Mudahan tidak tersungkur pada lemahnya jiwa,

Tidak rebah dalam kealpaan diri sebagai manusia.”

-Monolog merpati



Kini merpati mampu terbang tinggi. Cintakan Allah, cinta manusia akan menyusuri. Biarlah sejarah itu ternukil dalam lembaran semalam. Hari ini cerita baru yang akan diceritakan. yang pasti hari ini adalah permulaan bagi sesuatu yang baru dan hidup pada hari ini adalah nikmat yang sukar digambarkan. Impian itu masih mampu dicapai. CINTA Merpati Putih akhirnya terpasak disitu, pada Pencipta yang yang Maha Mengasihani. " Akak, sha gembira tengok akak macam ni" "Syukur dik, Allah memberi ruang untuk kak merasai dunia baru yang tidak hipokrit untuk akak melakukan sesuatu yang baik" "Harapannya bila tertoleh kebelakang melihat kembali setiap kejadian yang telah dilalui, hati mampu tersenyum penuh kesyukuran, kerana apa yang telah terjadi itulah yang menjadikan sapa kita pada hari ini, dan harapannya senyuman penuh kesyukuran itu terus kekal disepanjang perjalanan ini" Insya'Allah. Rencana Allah SWT penuh rahsia, Allah sentiasa mahukan yang terbaik untuk hambanya. Kita sendiri yang menzalimi diri mengingkari pada yang Hak, menidakkan pada fitrah kejadian dan sengsara dengan perbuatan tangan kita sendiri. Mudahan diampunkan dosa merpati dan sekalian umat manusia. Firmannya dalam surah al-araf ayat 23


رَبَّنا ظَلَمْنا أَنْفُسَنا وَ إِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنا وَ تَرْحَمْنا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخاسِرينَ

"Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya pastilah kami termasuk orang- orang yang merugi"

*************************************************************************************

رَبَّنا لا تُزِغْ قُلُوبَنا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنا وَ هَبْ لَنا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
" Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; karena sesungguhnya Engkau- lah Maha Pemberi(karunia)."

Ana pena
14052011/05:21 am
Baitul 82 kd